Assalammualaikum w.r.t.

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w, yang menyebarkan rahmat ke sekalian alam.

Para pembaca yang budiman,

Alhamdulillah, kerana diberikan kesempatan untuk mengisi ruang Tinta Presiden dalam laman sesawang yang sudah hampir 2 tahun beroperasi termasuk kerja-kerja baik pulih laman sesawang yang diselia oleh ahli yang komited dan istiqamah untuk memberikan info-info menarik menerusi laman ini. Seribu keampunan jua dipohon kerana ruangan ini dibiarkan kosong terlalu lama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun usaha dan semangat konsisten ahli yang terlibat dalam mengendalikan laman ini harus dihargai. Tahniah dan syabas diucapkan pada mereka yang terlibat.

Menjadi salah satu uslub kita ya’ni APIS untuk mendekati masyarakat terutama golongan pemuka baru dalam dunia keilmuan menerusi wasilah laman sesawang yang semestinya dilihat sebagai medium untuk menyebarkan maklumat-maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat. Gerak kerja yang selaras dengan perkembangan teknologi maklumat ini harus dimanfaatkan sebaiknya agar selari dengan visi APIS iaitu Melahirkan Muslim Profesional Berasaskan Kefahaman Islam yang Syumul.

Kepantasan era globalisasi yang padat dengan kemahiran dan kemajuan yang terkini harus diadaptasi sejajar dengan kehendak masyarakat dan agama yang menuntut kita agar menerima sesuatu itu dengan rasa kritis dan hormat. Kedaifan dan kekerdilan kita dalam menapis sumber maklumat itu secara tepat bakal mengelirukan buah pandangan kita dalam meneliti semula aspek keilmuan sebenar. Maklumat yang diperolehi harus dibedakan pada kedudukan yang sewajarnya agar aspek keilmuan sebenar tidak dikesansampingkan.

Menerusi laman sesawang ini, para pembaca juga dapat berkongsi buah fikiran dan pandangan masing-masing selari dengan konsep kita iaitu untuk memugar budaya ilmu menerusi wadah diskusi ummah yang seharusnya di’taadib’kan, agar diskusi kita kaya dengan rasa hormat dan kritis. Perbezaan pendapat ini seharusnya diharmonikan dan diraikan agar aspek keilmuan itu dibuka luas dengan tidak mengetepikan batas-batas syariat misalnya dalam hal-hal yang sudah disepakati jumhur ulama umumnya.

Rakan sahabat pembaca sekalian,

Usaha memajukan dan memodenkan agama sama sekali tidak berlaku meskipun dalam kecanggihan sumber teknologi maklumat yang kian pesat dewasa ini. Kecenderungan kita untuk menulis tanpa sempadan kata, sehingga menghilangkan ma’na dan rahsia dalam umtaian kata memungkinkan kita melahirkan kekeliruan dalam masyarakat. Oleh sebab itu, menjadi kewajipan kita untuk sentiasa bermuhasabah dan bertafakkur untuk menilai kembali aspek penulisan yang dipaparkan agar perkara tersebut tidak mempengaruhi cara pandangan alam (worldview) masyarakat Islam umumnya. Umat Islam adalah tamsil cermin bidal kepada konsep ‘ad-din’ itu sendiri. Kalau cermin itu tidak digilap dibiar berhabuk, maka, cahaya seterang manapun masih tidak dapat dipantulkan dengan kecerahan yang sama. Begitulah jua halnya ummat kita pada masa kini. Yang terang itu sudah tentu ‘Islam’, agama yang dianuti namun, sekiranya ummat kita pada hari ini umpama cermin tadi, kita masih tetap dipandang hina.

Kemajuan bukan semata-mata pembangunan zahiri, tapi jua pembangunan rohani. Apakah bezanya mereka yang menulis dengan hatidengan mereka yang menulis tanpa hati? Sudah tentu berbeza. Oleh hal yang demikian, disiplin penulisan yang didasari dengan fakta amat perlu, agar perkongsian info-info terkini dapat dibahaskan secara ilmiah. Menerusi laman sesawang ini, APIS komited untuk menyalurkan hal-hal yang berkisar mengenai sosial, pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, agama, falsafah dan sebagainya. Selaras jua dengan pendekatan APIS untuk melahirkan aktivis yang mempunyai intelektualisme yang tinggi, paparan program semasa dan akan datang bakal dimuatkan dalam laman sesawang ini. APIS komited untuk bersama dalam membudayakan tulisan ilmiah yang sarat dengan ilmu maklumat yang disepadani dengan martabat sesuatu ilmu. Oleh hal yang demikian, insya Allah, laman ini bakal menjadi medan wacana ilmiah buat para pengunjung yang sudi berkongsi.

Akhir kalam tinta yang semakin haus diisi ideanya, dengan harapan laman ini menjadi perkongsian yang bermanfaat yang mampu dijadikan sumber rujukan buat semua, saya menyeru pada agar renungilah diri, kelak ketemu apa kekuatan tersembunyi, lihatlah alam, disana sumber ilham terbentang, raihlah pengajaran dalam setiap episod perjalanan yang dilalui, agar kita beroleh tempat yang mulia dalam kehidupan yang abadi.

Salam sayang, salam perjuangan, salam persahabatan

FAKHRUL HAZIM BIN AZMI

Presiden APIS

(Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar, 2006)